Profil

I. PENGENALAN
 
PERDASAMA, singkatan kepada Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia atau dalam bahasa Inggerisnya “Malay Businessmen and Industrialists Association Of Malaysia (MBIAM)”, telah ditubuhkan secara rasmi dibawah Akta Pertubuhan Malaysia 1966 pada 9hb Disember 1998. Semenjak ditubuhkan PERDASAMA telah menjadi platform yang terbaik bagi para pedagang dan pengusaha melayu untuk memfokuskan usaha meningkatkan profesionalisme pedagang dan pengusaha Melayu. PERDASAMA diperkukuhkan dengan 13 cawangan dengan lebih 12,000 ahli aktif yang komited untuk mendukung serta memastikan misi dan visi persatuan tercapai. Ahli PERDASAMA terdiri daripada usahawan Bumiputera yang Berjaya dan disertai juga golongan profesional seperti peguam, jurutera, akauntan, pakar ekonomi, pendidik dan arkitek untuk memperhebatkan jaringan pedagang dan pengusaha Melayu di Malaysia.
 
II. RASIONAL
 
1.   Penubuhannya diasaskan kepada rasa tanggungjawab beberapa pemimpin perniagaan Melayu betapa perlunya menyatupadukan peniaga muda Melayu dan juga ahli-ahli professional agar keupayaan mereka dari sudut daya tahan dapat dipertingkatkan bagi menjamin kejayaaan dalam dunia pasaran bebas. Sehingga kini, mereka belum mencapai kejayaan yang sebenar dalam dunia perniagaan bebas. Mereka masih memerlukan sokongan kerajaan.   2.   Oleh itu, salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ialah menubuhkan satu rangkaian di kalangan pengusaha Melayu yang masih muda agar keupayaan mereka dapat dipertingkatkan melalui berbagai-bagai program. Melalui rangkaian ini, mereka boleh menjadi pelanggan di antara satu sama lain dalam bidang perniagaan masing-masing atau berkongsi bagi membesarkan perniagaan yang sedia ada. Ini adalah cara yang terbaik. Tetapi untuk menjadi pemain besar dalam pasaran bebas, mereka perlukan satu paradigma berniaga yang baru dan pandangan jauh lagi luas.
 
III. WAWASAN
 
Sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi pedagang dan pengusaha Melayu berusaha mencapai kejayaan ke arah menjadi sebahagian daripada masyarakat perdagangan dan perindustrian Malaysia.
 
IV. OBJEKTIF
 
Selain dari sepuluh objektif-objektif seperti yang tercatit dalam Perlembagaannya, pihak persatuan telah menentukan 4 objektif berikut bagi mencapai wawasannya, iaitu :
 
1.   Mencari jalan dan cara mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran professional, pengurusan dan teknikal para ahli yang akan membantu mereka memperkukuhkan kedudukan perniagaan mereka atau memperbaiki prestasi mereka dalam perniagaan;
 
2.   Membantu para ahli menubuhkan satu dana bersama untuk membolehkan mereka menggalakkan perkembangan perniagaan mereka ke seberang laut dalam suasana penglobalisasian ekonomi dunia dan kesan ke atas perniagaan berikutan kemajuan e-dagang dan internet;
 
3.   Membantu menubuhkan satu rangkaian pedagang, pengusaha, pekilang dan profesional dari setiap negeri di Malaysia bagi membolehkan mereka menyampaikan pandangan dan pendapat mereka secara berkesan kepada yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang memberi kesan kepada suasana perniagaan mereka;
 
4.   Membantu ahli-ahli berhubung dengan pedagang dan pengusaha di seberang laut sebagai pembeli barangan dan perkhidmatan mereka, agen kepada barangan-barangan mereka atau sebagai rakan kongsi dalam operasi di seberang laut atau sebagai pekilang.